Blogger Layouts

Tuesday, June 14, 2011

Permulaan: Suatu Ketika


Angin timur bertiup sepoi-sepoi bahasa, empat orang anak kecil ini begitu asyik bermain di tepi parit besar rumah Pak Non. Alif sedang sibuk menyauk anak-anak ikan di tebingan parit besar. Aku hanya memerhatikan   dari atas julai pohon keryang dot sambil menikmati masam manis buah-buahnya yang comel. Ana dan Angah pula sibuk menyalakan api yang dah hampir setengah jam belum pun melekat pada himpunan ranting dan sabut nyiur yang aku kumpulkan tadi.




'Berapa ekor yang hang dapat tu?' tanya aku pada Alif. Alif hanya tersengih sambil mengira anak-anak ikan seluang dan temberas dalam baldinya. 'Rileks la Mal, depa dua orang tu bukan pelekat api lagi, tak apa la aku duk cari ikan lama sikit...' jawab Alif. 

'Hoi, tangkap anak temberas banyak-banyak ni nak buat apa?' tetiba Pak Non yang kebetulan baru pulang ke rumah memerhatikan kami. Anak temberas ini adalah ikan sebesar ikan guppy, memang tak ada nilai komersial pun. Pak Non meninggalkan kami berempat sambil ketawa kecil. 

Alif mengelap keringatnya, nampaknya agak keletihan. 'Sudah la tu Lip, api dah nyala dah ni...' kata Angah yang nampak keletihan yang terpancar di wajah Alif. Ana mengambil baldi yang berisi ikan itu untuk dibasuh. 'Wei Lip, ikan ni kecik la, kenyang ke nak makan?' Ana ketawa kecil sambil membasuh ikan-ikan temberas yang masih berkodek-kodek itu. Ikan yang digaul dengan garam itu diberikan kepada Angah untuk dibakar. 'Ana, hang tak siang ke ikan-ikan ni?' usik aku pada Ana. Aku tahu kalau dah siang ikan ni pasti makin kecil sedangkan ikan-ikan itu pun hanya sebesar jari kelingking kami sahaja. 

Aku dan rakan-rakanku menikmati ikan temberas salai dengan penuh kepahitan. Memang masakan yang paling tak sedap yang pernah aku makan. Bagi kami, cukup sekadar puas hati dapat main api dan main air parit.   

No comments:

Post a Comment